TOKYO -  Seorang gabenor wilayah di Jepun pada Jumaat telah memberikan kebenaran untuk memulakan semula sebahagian operasi loji tenaga nuklear Kashiwazaki-Kariwa, iaitu loji nuklear terbesar di dunia, ketika Jepun berusaha menghidupkan semula sektor nuklearnya dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Kelulusan oleh Gabenor Wilayah Niigata, Hideyo Hanazumi, menandakan penghalang terakhir untuk dihapuskan sebelum syarikat pengendali Tokyo Electric Power Co (TEPCO) dapat meneruskan rancangan mengaktifkan semula satu atau dua reaktor terbesar di loji tersebut.

Menurut Hanazumi, permintaan tenaga dijangka meningkat akibat perkembangan pusat data dan industri semikonduktor. Beliau berkata langkah menghalang operasi loji yang sudah lulus piawaian keselamatan negara tanpa sebab munasabah adalah tidak wajar.

Hanazumi juga menjelaskan bahawa beliau perlu mendapatkan sokongan daripada dewan wilayah dalam sesi persidangan bermula 2 Disember nanti. Kebimbangan penduduk setempat, keperluan keselamatan berterusan dan persiapan kecemasan kekal sebagai isu utama yang perlu diberi perhatian.

Menurut Menteri Industri Jepun, Ryosei Akazawa, kelulusan itu - selepas disahkan dewan akan meliputi Reaktor No.6 dan No.7, iaitu dua unit terbesar di loji tersebut. Reaktor No.6 sahaja dijangka dapat menambah baik bekalan tenaga kawasan Tokyo sebanyak kira-kira 2%.

Dua reaktor itu menghasilkan 2,710 megawatt tenaga, iaitu kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kapasiti loji tersebut sebanyak 8,212 MW. TEPCO turut merancang untuk menghentikan operasi beberapa unit lain di kompleks yang sama.

Pada Oktober lalu, TEPCO selesai menjalankan pemeriksaan terhadap Reaktor No.6 selepas proses memasukkan bahan api, dan mendapati semua sistem utama berfungsi dengan baik.

Jika reaktor beroperasi semula, ini menjadi pembukaan pertama bagi TEPCO sejak insiden tsunami 2011 yang memusnahkan loji Fukushima Daiichi. Jepun sebelum ini menutup semua 54 reaktor akibat tragedi tersebut, menjadikan negara itu terlalu bergantung kepada import bahan api fosil yang mudah terdedah kepada kejutan pasaran dan gangguan bekalan.

Hanazumi berkata penduduk Niigata masih berbelah bahagi antara kumpulan yang menyokong dan menolak pengaktifan semula loji. Beliau percaya penyampaian maklumat keselamatan secara jelas boleh membantu meningkatkan kefahaman masyarakat.

Perdana Menteri Sanae Takaichi sebelum ini menyatakan sokongannya terhadap usaha menghidupkan lebih banyak loji nuklear demi keselamatan tenaga dan mengurangkan kos import bahan api yang kini menyumbang 60% hingga 70% daripada pengeluaran elektrik negara.

Pada tahun lalu, Jepun membelanjakan 10.7 trilion yen (AS$68 bilion) untuk mengimport Gas Asli Cecair (LNG) dan arang batu - bersamaan satu per sepuluh daripada keseluruhan kos import negara tersebut.

Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara, berkata pengaktifan semula loji itu penting untuk menurunkan harga elektrik dan menyediakan bekalan tenaga rendah karbon.

Daripada 54 reaktor sebelum Fukushima, Jepun kini hanya menghidupkan semula 14 daripada 33 yang masih layak beroperasi.

Penganalisis komoditi di Kpler menjangka import LNG Jepun - pembeli kedua terbesar selepas China akan turun sebanyak 4 juta tan kepada 62 juta tan tahun depan, jika lebih banyak loji nuklear kembali beroperasi termasuk Unit No.6 pada awal 2026.

Pada Julai lalu, Kansai Electric Power, pengendali tenaga nuklear terbesar Jepun, memaklumkan bahawa mereka memulakan tinjauan untuk membina reaktor baharu di kawasan barat Jepun yang bakal menjadi unit pertama selepas tragedi Fukushima.




{button text="Unlock Income in USD" url="https://prediktable.my/fft"}