4 DISEMBER - Malaysia masih bergantung kepada import biji kopi untuk memenuhi permintaan dalam negara kerana kadar sara diri (SSR) masih rendah walaupun pelbagai usaha telah dibuat bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan bahawa pada tahun 2024, SSR kopi direkodkan pada paras 33.2%. Angka ini menunjukkan Malaysia masih perlu mengimport biji kopi bagi menampung permintaan pasaran domestik.

Menurut beliau, Malaysia mengimport sebanyak 126,062 tan biji kopi pada tahun 2024, terutamanya jenis Robusta dan Arabica kerana pengeluaran tempatan masih terhad.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan mengenai sebab Malaysia masih mengimport kira-kira 90% biji kopi walaupun nilai pasaran kopi tempatan melebihi AS$1 bilion (RM4.13 bilion), serta usaha kementerian membantu pekebun kecil yang berdepan kos tinggi dan produktiviti rendah.

Menurut Mohamad, penanaman kopi tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak melibatkan tiga varieti utama iaitu Liberica (87%), Robusta (10%) dan Arabica (3%). Kawasan tanaman keseluruhan berjumlah 2,924 hektar dengan pengeluaran 2,861 tan pada tahun 2024.

Kementerian melalui Jabatan Pertanian komited menyokong pekebun kecil melalui bantuan input seperti bahan tanaman, baja, peralatan ladang, kawalan perosak dan kemudahan pasca tuai.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk membangunkan 300 hektar kawasan kopi membabitkan 270 pekebun. Usaha ini diteruskan di bawah RMK13 dengan peruntukan RM5 juta bagi kawasan yang sama.

Pada tahun 2026, sebanyak RM1.5 juta akan disalurkan untuk mengukuhkan lagi pembangunan industri ini.



{button text="Unlock Income in USD" url="https://prediktable.my/fft"}