10 Disember 2025 - Harga minyak bergerak stabil dalam sesi dagangan Asia pada Rabu, selepas traders menilai kejatuhan besar dalam stok minyak mentah Amerika Syarikat serta menunggu keputusan kadar faedah oleh Federal Reserve.
Data API menunjukkan stok komersial minyak mentah AS susut sebanyak 4.8 juta tong bagi minggu berakhir 5 Disember jauh lebih besar berbanding jangkaan pasaran sekitar 1.7 juta tong. Minggu sebelumnya turut mencatat pengurangan 2.48 juta tong. Penurunan ini memberi isyarat permintaan yang lebih kukuh atau penawaran yang semakin ketat, sekaligus membantu sentimen harga minyak dalam jangka masa terdekat.
Mesyuarat Fed yang bermula Selasa dijangka berakhir dengan pengumuman pemotongan kadar sebanyak suku mata, langkah yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyokong permintaan minyak. Kadar faedah yang lebih rendah biasanya melemahkan dolar serta mengurangkan kos pinjaman, memberi ruang perbelanjaan lebih baik kepada pengguna dan perniagaan.
Pada masa sama, pasaran memberi perhatian kepada rundingan baharu berkaitan perang di Ukraine. Negara itu dilaporkan sedang menyediakan pelan damai yang diperbaharui untuk dihantar kepada pihak AS dan Eropah selepas sesi perbincangan peringkat tinggi di London. Sekiranya ada kemajuan, ia boleh membuka laluan kepada peningkatan eksport Rusia dan memberi tekanan tambahan ke atas harga minyak. Namun, kegagalan rundingan boleh meningkatkan risiko geopolitik, sekali gus menyokong harga.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) menaikkan unjuran pengeluaran minyak mentah bagi 2025, dengan jangkaan paras tertinggi baharu sebelum sedikit perlahan pada 2026.
Bagi 2025, pengeluaran dijangka purata 13.61 juta tong sehari adalah paras tertinggi pernah direkodkan. Sebahagian besar pertumbuhan ini datang daripada Permian Basin yang kekal sebagai kawasan paling aktif serta paling efisien dalam operasi penggerudian. Bagi 2026, pengeluaran dijangka sedikit menyusut kepada 13.53 juta tong sehari tetapi masih hampir pada paras puncak.
Unjuran ini dinaikkan kerana pengeluaran syal AS terbukti lebih kukuh daripada jangkaan walaupun harga lebih lemah dan aktiviti pelantar menurun pada awal tahun. Peningkatan prestasi telaga serta penggabungan syarikat pengeluar besar turut membantu mengekalkan momentum pertumbuhan.
Sumber: Investing.com