NEW YORK, 15 Sept ? Bank-bank di Amerika Syarikat meminjam sebanyak $1.5 bilion daripada Standing Repo Facility (SRF) milik Rizab Persekutuan (Fed) pada Isnin, iaitu tarikh akhir pembayaran cukai korporat suku tahunan. Data Fed menunjukkan pinjaman ini mencerminkan sedikit tekanan dalam memenuhi keperluan pembiayaan.

SRF berfungsi sebagai talian hayat sekiranya berlaku kekurangan dana. Dilancarkan pada Julai 2021 selepas pandemik Covid-19, kemudahan ini membolehkan bank mendapatkan pinjaman tunai semalaman dua kali sehari dengan cagaran seperti bon Perbendaharaan AS (Treasuries).

Tarikh pembayaran cukai korporat ini juga bertembung dengan tarikh penyelesaian hutang Perbendaharaan baharu. Firma penyelidikan pasaran wang, Wrightson ICAP, menganggarkan terdapat kira-kira $78 bilion pembayaran kepada Perbendaharaan pada hari yang sama. Hasil daripada pembayaran cukai dan penyelesaian hutang ini, baki tunai Perbendaharaan dijangka meningkat melebihi $870 bilion.

Menjelang pembayaran tersebut, kadar pasaran pembelian semula (repo) seperti Secured Overnight Financing Rate (SOFR) meningkat melepasi kadar faedah simpanan bank di Fed. Pada Jumaat lalu, SOFR naik ke 4.42%, tertinggi dalam tempoh dua bulan, manakala Interest on Reserve Balances (IORB) kekal pada 4.40%.

Secara teori, SOFR sepatutnya diperdagangkan pada atau di bawah kadar IORB kerana bank boleh menyimpan wang di Fed dengan selamat dan menerima kadar itu. Namun, apabila SOFR melepasi IORB, ia menunjukkan terdapat permintaan tinggi untuk pembiayaan bercagar dengan Treasuries ? sesuatu yang lazim berlaku ketika penyelesaian lelongan Perbendaharaan.

Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan tekanan kecairan ini hanya bersifat sementara.

?Keadaan pembiayaan kali ini hanya menunjukkan tekanan kecil yang biasanya dikaitkan dengan tarikh penyelesaian kupon Perbendaharaan besar dan tarikh akhir cukai suku tahunan, bukannya tekanan pembiayaan yang boleh menggugat pasaran,? tulis Lou Crandall, ketua ahli ekonomi di Wrightson.

Fed dijangka menawarkan pinjaman tunai sekali lagi pada sebelah petang.

Untuk rekod, pada 30 Jun lalu, institusi kewangan meminjam kira-kira $11.1 bilion daripada SRF, kebanyakannya bercagarkan Treasuries ? jumlah terbesar sejak kemudahan ini diperkenalkan empat tahun lalu.